Tripcarte Asia Merancang Ke Pasaran ASEAN

By theSundaily - 25 MAR 2018 @ 21:55 H

KUALA LUMPUR: Tripcarte Asia, platform dalam talian perjalanan dalam negeri yang membolehkan pelancong menemui dan menempah perkara yang perlu dilakukan, ingin memperluas perkhidmatannya ke pasaran ASEAN, termasuk Singapura, Indonesia, Thailand atau Vietnam pada akhir 2019.

Sehingga kini, syarikat ini hanya tersedia di Malaysia, menawarkan sehingga 90 lawatan dan tarikan dari Johor, Kuala Lumpur, Langkawi, Port Dickson, Ipoh, Melaka dan Penang.

Sebelum ini lebih dikenali sebagai MyLangkawiTours.com, Tripcarte Asia menawarkan servis tiket atas talian yang membenarkan pelancong untuk menempah satu e-tiket yang menggabungkan beberapa tiket masuk tarikan, membolehkan pengunjung untuk melangkau barisan di tarikan tersebut.

Ditubuhkan dan dilancarkan pada tahun 2015, Tripcarte Asia bertujuan untuk menggabungkan pasaran pelancongan dengan menyediakan satu destinasi atas talian untuk diterokai dan menempah tiket destinasi tersebut.

Dalam temu ramah dengan SunBiz baru-baru ini, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Parthiven Shan menyatakan bahawa syarikat ini menyasarkan untuk menjadi platform tiket atas talian terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.

"Ada beberapa strategi sedang kami lihat, sama ada menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan luar negara, atau menerusi pejabat kami di sini.

"Kami mencari kaedah terbaik untuk menembus pasaran ini bergantung kepada negara, halangan dan cabaran."

“Buat masa ini, kami sedang berbincang dengan sebuah syarikat untuk menguruskan operasi di Indonesia. Destinasi kami seterusnya ialah Indonesia,” tambahnya lagi.

Selain itu, Parthiven turut menyatakan bahawa syarikatnya juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tarikan dan aktiviti yang ditawarkan kepada 1,000 dalam tempoh dua tahun pertama dari rancangan tiga tahunnya.

Dari segi matlamatnya, dia mengatakan bahawa syarikatnya menyasarkan untuk memperoleh antara RM7 juta ke RM8 juta untuk tahun ini berbanding RM1.6 juta pada 2017, didorong dengan peningkatan jumlah destinasi yang terdapat di platform tersebut.

"Kami telah mula mengorak langkah untuk mendapatkan tarikan dan aktiviti dari negeri-negeri lain dan kembangkannya ke seluruh negara,” katanya.

Dari segi dana, tahun ini, Parthiven menyatakan yang syarikat itu berusaha mengumpulkan hingga RM1 juta untuk meningkatkan operasinya ketika ini, sesuai dengan pelan pengembangan pasarannya.

“Terdapat beberapa dana usaha niaga yang akan kami bentangkan dalam tempoh beberapa bulan hadapan.”

"Sebelum ini, kami mendapat geran secara langsung dari Cradle Fund, berjumlah sekitar RM300,000, yang pada dasarnya digunakan untuk pengembangan perniagaan kami," tambahnya

Ditulis oleh The Sun Daily: https://www.thesundaily.my/archive/tripcarte-asia-plans-foray-asean-market-BUARCH535410

Troli Membeli-belah