Bercuti dengan selamat sewaktu PKPP

Kredit: Eutah Mizushima

Bermula pada 11 Jun, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan rakyat untuk melakukan aktiviti pelancongan domestik dalam negara setelah hamper 3 bulan tidak berpeluang untuk ke mana-mana. Namun begitu, meskipun sudah mendapat kelonggaran untuk merentas negeri dan bercuti, terdapat beberapa langkah keselamatan yang ada perlu ikuti sebelum anda memulakan perjalanan dan percutian anda bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19. Normal baharu! Di sini tersenarai beberapa perkara yang perlu anda pertimbangan jika anda ingin bercuti.

Melancong di dalam negara

Memandangkan sempadan negara masih lagi ditutup, pilihan terbaik untuk bercuti pastinya di dalam negara. Malaysia sahaja mempunyai banyak tempat bercuti menarik yang setaraf dengan antarabangsa, jadi anda tidak perlu perlu menaiki kapal terbang dan pada masa yang sama tidak terdedah dengan orang ramai sewaktu di lapangan terbang.

Dengan membuat pilihan untuk bercuti di dalam negara, anda boleh menaiki kenderaan sendiri dan berjimat kerana lebih murah. Percutian ini lebih selamat kerana anda dapat mengenal pasti kontak rapat dan pada masa yang sama mempraktikkan pengasingan diri dan penjarakan sosial. Langkah ini secara tidak lansung dapat membangunkan semula ekonomi pelancongan dalam negara yang terjejas teruk sebelum ini.

Kebersihan tempat penginapan

Pastinya kalau bercuti tempat yang jauh dan lama, kita akan menginap di  tempat penginapan dan selalunya homestay, hotel ataupun Airbnb menjadi pilihan dan pastinya kena dengan bajet.  Dengan situasi kini, perkara utama yang perlu dititik beratkan selain daripada kos penginapan pastinya ialah tahap kebersihan tempat penginapan tersebut. Pastikan anda menghubungi tempat penginapan terlebih dahulu untuk mengetahui langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh tempat  tersebut.

Mendekati alam semulajadi

Memandangkan kita masih lagi perlu mengelakkan dari tempat yang dikerumuni oleh orang ini, inilah masa terbaik untuk anda mendekati alam semulajadi. Malaysia sememangnya kaya dengan keindahan alam semula jadi, tempat-tempat seperti pulau-pulau, taman negara, dan hutan simpan pastinya akan membuat anda jatuh cinta dengan keindahannya.
Selalunya tempat-tempat begini memang kurang orang ramai kunjungi, jadi ini merupakan destinasi terbaik untuk anda berehat dan mengagumi keindahan ciptaan Tuhan.

Patuhi Kawalan Kendiri

Perkara utama yang perlu diingati sewaktu bercuti dan pergi ke mana sahaja ialah kawalan kendiri. Pastikan anda mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan. Sentiasa amalkan penjarakan sosial, memakai topeng muka, basuh tangan dengan kerap, dan pastikan anda membawa pensanitasi tangan.

Akhir sekali, PKPP bukan bermakna perang COVID-19 sudah tamat sebaliknya ini merupakan fasa pemulihan untuk kita membiasakan diri dengan norma baharu pasca Covid-19 nanti. Patuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan jaga kesihatan diri anda dan keluarga sewaktu percutian nanti.