Melawat Ladang The Gaharu di Gaharu Tea Valley Gopeng

Ladang teh selalunya sinonim dengan Cameron Highland, namun tahukah anda, kewujudan ladang teh yang terletak di Gopeng, Perak ini? Uniknya mengenai ladang teh ini ialah, ianya bukan seperti ladang teh biasa yang selalu anda temui. Di sini anda dapat melihat pokok gaharu yang besar dan tinggi di tanam di lereng-lereng bukit.  Pokok gaharu yang ditanam ini juga selain dijadikan sebagai teh, ianya turut dijadikan sebagai minyak wangi, biskut, mi dan sebagainya. Jika anda inginkan kelainan dalam aktiviti hujung minggu atau percutian anda, anda bolehlah cuba untuk datang ke sini.

Tentang Gaharu Tea Valley

Gaharu Tea Valley ini merupakan sebuah kawasan seluas 300 ekar dan kini menempatkan sehingga 200 000 pokok gaharu. Ladang teh ini diusahakan pada tahun 1992 oleh Encik David Ho. Teh gaharu yang dihasilkan di sini merupakan kombinasi 12 spesis gaharu mempunyai pelbagai jenis khasiat. Teh gaharu ini dikatakan mampu membantu untuk mengawal paras gula di dalam darah, mengatasi masalah anxiety, masalah tidur, melancarkan perjalanan darah, penghasilan uric acid, dan banyak lagi khasiat lagi.

Apa yang menariknya di Gaharu Tea Valley

Pastinya kawasan seluas 300 ekar sememangnya sebuah kawasan yang sangat besar untuk anda lawati dengan berjalan kaki. Untuk itu, pihak Gaharu Tea Valley ini menyediakan HOGA ride untuk anda melawat kawasan dan tempat menarik di sini. Dengan bayaran sebanyak RM 10, anda akan dibawa ke 3 tempat utama yang terdapat di sini.

1. Viewing Stage

Pertama, anda akan dibawa ke Viewing Stage yang terletak di puncak tertinggi di Gaharu Tea Valley ini. Di sini anda akan melihat pemandangan ladang gaharu yang indah terbentang di depan mata anda. Menyajikan permandangan langit biru dan hutan hijau  yang menenangkan, anda boleh juga menikmati minuman dan makanan yang dijual di sini.

2. Hugging Park

Setelah melihat pemandangan ladang teh gaharu, di hentian kedua, iaitu Hugging Park. Di sini anda berpeluang untuk melihat malah memeluk pokok gaharu yang terdapat di sini. Pokok gaharu yang terdapat di taman ini telah dilukis dengan gambar pelbagai jenis binatang yang menjadikan taman ini sangat menarik. Selain itu, di sini juga terdapat kolam ikan yang menempatkan ikan koi yang pastinya mengasyikkan anda.

3. Lover’s Park

Hentian terakhir untuk lawatan di Gaharu Tea Valley ini ialah, anda akan dibawa ke Lover’s Park. Di Lover’s Park ini, anda akan dibawa melihat sepasang pokok yang dikatakan telah berusia 200 tahun. Pokok yang saling terjalin di antara satu sama lain seperti sepasang kekasih yang menyebabkan penduduk setempat menggelarnya sebagai Pokok Cinta.

Mencuba Teh Gaharu  

Pastinya tarikan utama di Gaharu Tea Valley ini, anda jangan lepaskan peluang untuk merasai teh gaharu. Selain dari merasai teh gaharu, anda juga boleh mencuba aiskrim teh gaharu dan bawa pulang juga cenderamata dari sini.