Tasik Kenyir: Keindahan tasik buatan yang mempesonakan

T
asik Kenyir memang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di Terengganu, tasik yang dibuka pada tahun 1986 ini mempunyai keindahan alam yang memang tak di sangkal lagi. Tasik yang pada awalnya cuma kawasan pedalaman kini telah berubah wajah apabila pada 1978, kawasan hutan seluas 38,000 hektar tenggelam sehingga 145 meter dan sekali gus membentuk 340 pulau.

Tasik yang terletak di daerah Hulu Terengganu dan bersempadan dengan negeri Kelantan dan Pahang ini merupakan pintu masuk Taman Negara. Meskipun Tasik Kenyir ini sebenarnya merupakan sebuah empangan hidro-elektrik yang diliputi konkrit besar, di sekelilinginya terdapat hutan hujan yang menjadikan panorama di Tasik Kenyir ini menakjubkan.Selain kaya dengan keindahan panorama yang membuatkan anda terpukau, Tasik Kenyir ini juga terkenal aktiviti dan tempat yang saujana mata memandang dan turut menjadi syurga buat kaki pancing yang ingin memburu spesis ikan air tawar seperti  ikan toman, sebarau, kelah dan belida. Selain itu, Tasik Kenyir ini juga menjadi rumah buat 14 air terjun lata, jeram, sungai dan santuari sepsis ikan dan eksotik hidupan liar.

Di sini, terdapat 5 senarai tempat menarik yang terdapat di Tasik Kenyir ini buat anda, pencinta alam semula jadi.

Air Terjun Lasir

Air terjun Lasir merupakan antara salah satu air terjun yang terdapat di Tasik Kenyir. Di komersialkan sebagai salah satu daripada 14 air terjun yang dibuka secara komersial di Tasik Kenyir. Terletak berdekatan dengan Pengkalan Gawi, air terjun yang mencapai ketinggian kira-kira 500 meter ini popular sebagai salah satu destinasi perkelahan di Tasik Kenyir. Kawasan yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda, ini mempunyai beberapa kolam yang luas dan bertingkat-tingkat.

Selain itu, tarikan lain di air terjun Lasir ini ialah terdapat menara tinjau dan jambatan gantung yang menyeberang air terjun tersebut. Pelbagai kemudahan tersedia di air terjun ini seperti tapak perkhemahan, dan laluan pejalan kaki.

Santuari Ikan Kelah

Kredit: Astro Awani

Ikan kelah merupakan ikan yang digelar “Raja Sungai” kerana nilainya yang tinggi di pasaran. Dikatakan harga sekilo ikan kelah ini boleh mencecah sehingga RM1000. Namun begitu, di sebalik kehebatannya sehingga digelar “raja sungai”, ikan ini juga tidak terlepas dari kepupusan. Untuk itu, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah membangunkan tempat perlindungan bagi ikan ini iaitu Santuari Ikan Kelah ini selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir. Di sini anda boleh melihat dan memberi makan kepada beribu-ribu ikan kelah yang jinak yang terdapat di sini. Selain berpeluang pegang dan mencium ikan kelah, di sini anda juga dapat merasai pengalaman unik rawatan spa ikan kelah sewaktu anda memberi makan kepada ikan ini.

Gua Bewah

Jika anda suka dengan perkara-perkara berkaitan dengan sejarah, anda boleh lawati Gua Bewah untuk melihat kesan peninggalan sejarah dari zaman Mesolitik dan Neolitik.  Merupakan salah satu gugusan gua yang terdapat di Tasik Kenyir ini, Gua Bewah yang berusia 270 juta juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar. Di dalam gua ini, anda dapat melihat tempat ‘kilang tahi kelawar’ yang kemudian digunakan sebagai baja. Di sini, terdapat kemudahan tangga dan lampu solar yang akan menyala secara automatik disediakan oleh pihak kerajaan negeri untuk membolehkan anda melawat bahagian dalam gua ini. Jika anda bernasib baik, anda berpeluang untuk melihat kelawar dan spesis ular berwarna putih yang terdapat dalam Gua Bewah ini.

Kenyir Elephant Village (Santuari Gajah)

Kredit: Astro Awani

Berita baik buat pencinta haiwan, di Kenyir Elephant Village ini anda dapat melihat persembahan gajah dengan lebih dekat. Santuari gajah yang merupakan kawasan pemuliharaan dan pemeliharaan habitat gajah ini memberi peluang kepada anda untuk bermesra dengan haiwan ini tanpa perasaan takut. Selain itu juga, anda boleh turut serta untuk melihat gajah-gajah yang terdapat di santuari ini mandi.

Taman Herba Tasik Kenyir

Kenali herba-herba tradisional di Taman Herba Tasik Kenyir ini. Terletak hanya 10 minit dari Jeti Pengkalan Gawi, di Taman Herba ini anda boleh melihat lebih 200 jenis tanaman herba seperti mas cotek, Misai Kucing, Kacip Fatimah, Tongkat Ali dan banyak lagi. Anda boleh belajar banyak tentang kegunaan dan fungsi tumbuhan herba. Taman Herba ini juga menyediakan perkhidmatan spa dan rawatan perubatan tradisional seperti aroma terapi, mandian herba dan perubatan berasaskan herba.Beli tiket Tasik Kenyir Trip menerusi Tripcarte.Asia