Tempat Menarik Untuk Dilawati di Sarawak [2019]

Jika Sabah terkenal dengan pulau-pulaunya, Sarawak juga terkenal dengan kekayaan flora dan faunanya. Bumi Kenyalang ini merupakan destinasi yang perlu dituju buat pecinta alam semula jadi kerana di sini terdapat banyak hutan simpan yang menjadi habitat semula jadi ribuan flora dan fauna. Selain itu, Sarawak juga kaya dengan kepelbagaian budaya hidup dan etnik. Oleh itu, di sini tersenarai beberapa tempat menarik buat anda yang ingin bercuti ke Sarawak.

Borneo Happy Farm

Borneo Happy Farm ini terletak 18km dari bandar Kuching dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke sini. Diwujudkan bagi menimbulkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar, di Borneo Happy Farm ini, anda akan melihat bagaimana petani memerah keringat untuk menanam tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan makanan kemudian nanti. Anda juga dapat melihat haiwan-haiwan ternakan seperti kuda, kerbau dan juga kambing meragut rumput berdekatan sambil berlatarbelakangkan keindahan alam yang dikelilingi . Nikmati pemandangan yang jarang-jarang anda saksikan di depan mata anda.

Matang Wildlife Centre

Matang Wildlife Centre merupakan sebuah pusat pemuliharaan spesis haiwan terancam yang terletak di Taman Negara Kubah. Kebanyakan spesis haiwan yang terdapat di pusat ini ialah spesis-spesis terancam yang dijadikan haiwan peliharaan secara haram dan kemudian diselamatkan. Haiwan-haiwan yang diselamatkan akan diletak di pusat hidupan liar ini untuk proses pemulihan sebelum dilepaskan semula ke habitat asal mereka. Dalam proses pemulihan ini, anda diberi peluang untuk melihat haiwan-haiwan yang terdapat di pusat hidupan liar. Selain dari melihat haiwan-haiwan ini, terdapat juga air terjun, kawasan berkhemah, jungle trekking, dan banyak lagi aktiviti lain yang anda boleh lakukan di sini.

Pasar Serikin

Sememangnya Sarawak terkenal dengan kebudayaan dan hasil kraftangan masyarakat setempat. Untuk itu, jika anda datang melawat Sarawak, jangan lupa untuk singgah ke Pasar Serikin ini. Pasar yang sentiasa dikunjungi pelanggan ini, menjual banyak barang kraftangan tempatan dan juga barang dari negara seberang iaitu Indonesia. Anda boleh dapatkan pelbagai pilihan barangan kraftangan, perhiasan dan jga barangan dapur dengan harga yang murah.

Mangrove and Irrawaddy Dolphins Watching

Belayar menelusuri paya bakau di Sungai Santubong dan lihat hidupan marin dan burung-burung yang tinggal berdekatan dengan paya bakau tersebut. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk melihat ikan lumba-lumba spesis Irrawady yang selalunya terdapat di Asia Tenggara.

Kampung Budaya Sarawak

Di Sarawak sahaja terdapat 27 etnik masyarakat yang mempunyai bahasa, budaya dan gaya hidup yang tersendiri. Jadi untuk anda yang ingin mengenali dan mendalami etnik-etnik yang terdapat di Sarawak ini, anda  boleh ke Sarawak Cultural Village & Cultural Show. Di sini anda dapat melihat replica rumah-rumah serta bangunan-bangunan etnik utama yang terdapat di Sarawak ini seperti Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Tinggi Melanau, Pagoda Orang Cina dan banyak lagi. Selain itu juga, anda juga dapat menyaksikan persembahan kebudayaan dan juga kraftangan tradisional etnik di Sarawak seperti Manik Sarawak dan juga Pua Kumbu yang merupakan tekstil tradisional Kaum Iban.

Semenggoh Orangutan Rehabilitation

Salah satu daripada tiga pusat pemulihan di Malaysia yang membolehkan anda untuk melihat orang Utan separa liar di habitat semula jadi mereka. Ditubuhkan pada tahun 1975, pusat ini menjaga haiwan liar yang pada awalnya menjadi haiwan peliharaan haram, yatim piatu atau yang cedera di dalam hutan. Kini menempatkan lebih dari 20 ekor orang utan yang terdapat di pusat ini. Ada di antara orang utan ini yang telah dilepaskan tapi ada juga antara mereka yang kembali semula ke pusat ini di mana mereka diberi makan 2 kali sehari. Jadi jika anda berminat untuk melihat dan berinteraksi dengan orang utan ini, datanglah ke Semenggoh OrangUtan Rehabilitation.

Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh

Salah satu keunikan yang terdapat di Sarawak ialah rumah panjang yang merupakan antara rumah tradisional etnik di sini. Jadi rugi jika anda ke Sarawak tapi tidak mengambil peluang ini untuk melawat Rumah Panjang Annah Rais Bidayuh ini. Di sini anda akan melihat rumah panjang tradisional etnik Bidayuh. Telah dibina pada tahun 1818, rumah panjang ini terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh sungai. Sewaktu anda melawat ke rumah ini, anda akan dapat melihat gaya hidup dan budaya masyarakat Bidayuh di sini. Menariknya lagi, setibanya anda ke sini, anda akan diraikan dengan tarian-tarian etnik Bidayuh.