Panorama Menakjubkan di Taman Negara Malaysia [ 2019 ]

Taman Negara Pahang

Taman Negara ini merupakan taman negara terbesar di Semenanjung Malaysia dan dianggarkan telah berusia 130 juta tahun. Terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan, Taman Negara ini kaya dengan pelbagai hidupan flora dan fauna yang kini jarang ditemui. Menjadi destinasi eko-pelancongan yang popular, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan sewaktu melawat Taman Negara dari berjalan di Canopy Walkway (kanopi tertinggi dan terpanjang di dunia), jungle trekking, melawat santuari kelah dan meneroka Gua Telinga. Selain itu, buat anda yang suka memancing, terdapat sehingga 300 spesies ikan yang anda boleh temui di sungai-sungai di taman negara.

Taman Negara Kinabalu, Sabah

Taman negara Kinabalu merupakan taman negara yang terawal menerima pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 2000. Taman Negara Kinabalu ini berkeluasan 750km persegi. Tarikan utama di Taman Negara ini pastinya Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia Tenggara. Selain mendaki di sini, terdapat juga aktiviti lain yang boleh anda lakukan seperti melihat keindahan tumbuh-tumbuhan Borneo seperti Orkid Rothschild atau digelar Orked Sumazau (emas Kinabalu) yang merupakan orked termahal di dunia dan hanya tumbuh di kawasan gunung Kinabalu. Selain itu, anda juga dapat menikmati pemandangan lebih dekat Gunung Kinabalu.

Taman Negara Royal Belum, Perak

Hutan hujan tropika yang tertua di dunia ini berusia lebih 130 juta tahun ini terletak di daerah Hulu Perak, dan bersepadan dengan negara Thailand. Perkataan ‘Belum’ diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh serangga kayu yang menghasilkan bunyi yang berbunyi seperti “belummmm, belummmm”. Pelbagai aktiviti dan panorama yang anda boleh lihat dan lawati sepanjang anda datang ke Royal Belum ini. Di Royal Belum ini anda boleh melawat Santuari Ikan di Air Terjun Ruok dan juga melihat Air Terjun Sungai Kooi. Selain itu juga, anda turut berpeluang untuk melihat Burung Enggang yang menjadi ikon di Sarawak jika anda bernasib baik.

Taman Negara Mulu, Sarawak

Merupakan taman negara yang popular terutama di Sarawak, Taman Negara Mulu ini merupakan rumah kepada koleksi khazaah semula jadi yang mengagumkan. Memiliki rangkaian gua terpanjang di dunia dan ‘Sarawak Chambers’ iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang dikatakan mampu menempatkan empat puluh buah kapal terbang Boeng 747. Di sini terdapat empat buah gua utama yang mesti anda lawat iaitu Gua Lang, Gua Jernih, Gua Angin dan Gua Rusa yang mempunyai laluan gua terbesar di dunia. Buat anda pencinta alam, anda juga boleh cuba untuk berjalan di Laluan Kanopi Mulu di samping mengunjungi The Pinnacles. Namun begitu, anda disarankan untuk menggunakan khidmat pemandu arah dan pengangkut barang.

Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Sabah

Taman Negara Tunku Abdul Rahman ini merangkumi lima buah pulau yang berkeluasan lebih 4929 hektar yang mana 2 pertiga daripadanya adalah laut. Pulau-pulau yang merangkumi taman marin ini terdiri daripada Pulau Manukan, Pulau Sulug, Pulau Gaya, Pulau Mamutik dan Pulau Sapi. Kaya dengan hidupan marin seperti ikan dan terumbu karang, di sini anda boleh melakukan banyak aktiviti seperti menyelam dan juga berkelah. Selain itu, di kawasan pulau-pulau ini juga terdapat flora dan fauna eksotik yang jarang anda boleh lihat.

Bercuti dalam Malaysia dengan Tripcarte.Asia. Terdapat lebih 200+ tarikan dan aktiviti di Malaysia untuk anda kunjungi menerusi Tripcarte.Asia