Tarikan Menarik di KLCC

KLCC antara tempat tarikan utama di Malaysia kerana di sini tersegamnya Menara Berkembar Petronas yang merupakan ikon Malaysia. Pengunjung dari luar dan dalam negara datang ke Malaysia tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan salah satu bangunan tertinggi di dunia.

Tak sempurna kalau datang ke KL ni tapi tak pergi KLCC. Selain terdapatnya, Petronas Twin Towers ini, di KLCC juga terdapat banyak lagi tempat yang menarik yang anda boleh kunjungi.

Suria KLCC merupakan pusat membeli belah yang mempunyai lebih 270 buah kedai dari grocery store seperti Cold Storage sehinggalah ke barangan berjenama seperti Zara, Coach dan Fendi. Selain itu, buat mereka yang menggemari buku, di sini juga terletaknya atu-satunya kedai buku dari Jepun iaitu Kinokuniya di tingkat 4, Suria KLCC. Buat penggemar manga, Kinokuniya semestinya tempat yang perlu di kunjungi.

Menempatkan lebih 5,000 spesis haiwan akuatik seperti ikan Jerung, Penyu, Penguin, dan banyak lagi, Aquaria KLCC merupakan tempat yang sesuai untuk anda belajar dan mengetahui mengenai haiwan akuatik. Sering menjadi destinasi pilihan keluarga untuk melawat kerana tidak sukar untuk melawat Aquaria ini. Anda hanya perlu melalui laluan terowong tingkat bawah Suria KLCC sahaja. Dan selepas melawat Aquaria ini anda boleh sahaja terus menjamu selera kerana terdapat medan selera di bahagian luar Aquaria KLCC tersebut.

Buat penggemar seni, luangkan masa anda untuk melawat Galeri Petronas yang terletak di tingkat 3, Suria KLCC ini. Galeri Petronas ini merupakan galeri seni kotemporari yang dibina untuk mempromosikan budaya dan seni. Memandangkan Galeri Petronas ini terletak di dalam Suria KLCC, anda boleh luangkan masa sebentar setelah puas bershopping di Suria KLCC.

Petrosains, The Discovery Centre ini terletak di tingkat 4, Suria KLCC dan berhadapan dengan Kinokuniya. Seiring dengan namanya iaitu, The Discovery Centre, Petrosains ini ialah muzium sains dan teknologi yang berbeza dengan dari muzium yang lain. Di Petrosains ini, anda boleh pegang, sentuh dan bermain dengan kebanyakan pameran yang dipamerkan.

Antara pameran yang terdapat di Petrosains ini ialah simulator helikopter, tempat kendalian pelantar minyak, sehinggalah merasai pengalaman duduk di dalam kokpit kereta F1. Jadi, Petrosains ini memang tempat yang sesuai untuk anda bawa seisi keluarga dan belajar lebih lagi mengenai sains dan teknologi.

Antara lokasi yang selalu dipenuhi dengan pengunjung dalam dan luar negara baik siang atau malam, taman yang terletak di luar KLCC ini mempunyai pelbagai kemudahan jika anda ingin beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak, laluan pejalan kaki dan joging dan paling utama Lake Symphony. Lake Symphony ini adalah tasik buatan yang dilengkapi dengan pertunjukan air pancut berwarna-warni pada waktu tengahari dan senja.

Lihat panorama pemandangan Kuala Lumpur di Skybridge KLCC. Anda akan dibawa ke jambatan yang menghubungkan Menara Berkembar Petronas di tingkat 44. Di sini anda boleh melihat pemandangan Kuala Lumpur dari sudut 360 yang begitu mempesonakan. Kemudian anda akan dibawa ke tingkat 86 dari 88 tingkat Menara Berkembar ini untuk melihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur. Tapi kena ingat, untuk anda yang ingin pergi ke SkyBridge ini, hanya 1200 tiket yang akan dijual setiap hari, jadi anda perlu segera beli sebelum pukul 11 pagi.

Dewan Filharmonik Petronas ini sangat dikenali buat penggemar muzik klasik kerana merupakan dewan konsert pertama di Malaysia dibina oleh Petronas. Dewan ini juga telah menganjurkan beberapa konsert seniman dan orkestra terkemuka di dunia.

Shopping Cart